
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin dan kurniaNya, laman web yang sangat bermakna kepada warga SMK Agama Tun Datu Mustapha, dapat disempurnakan pelancarannya. Tahniah kepada semua pihak yang telah berusaha untuk mendokumentasikan pelbagai catatan aktiviti sekolah dalam laman web ini.
Pendidikan pada hari ini semakin mencabar, maka tanggungjawab guru kini bukan sahaja mengasuh dan mendidik para pelajar, bahkan juga perlu menyumbangkan tenaga dengan penuh pengorbanan dan kesabaran. Pada masa kini, sekolah memikul beban selaras dengan tuntutan dan matlamat negara menjelang 2020. Kegagalan pelajar adalah kegagalan kita dan ini mengakibatkan cita-cita dan harapan masyarakat, negara dan agama tidak dapat dicapai.
Kepada semua pelajar yang menjadi klien utama sekolah, diharapkan akan lebih peka terhadap perkembangan semasa dalam teknologi di samping berdaya saing menghadapi era globalisasi. Setiap insan yang beroleh kejayaan merupakan individu yang mempunyai matlamat serta mereka yang berusaha dengan gigih. Kecemerlangan dalam kehidupan tidak akan datang bergolek.Dalam era pascamodenisme ini tidak ada jalan singkat untuk meraih kecemerlangan. Justeru, para pelajar harus sedar tentang pentingnya berdaya saing untuk mencapai kejayaan.
Kepada semua warga SMK Agama Tun Datu Mustapha(SMKATDM), saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana terus memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing. Semoga kita akan lebih cemerlang pada masa hadapan, insyaAllah.
Akhirnya diharapkan laman web ini menjadi wadah untuk memaparkan segala aktiviti atau peristiwa yang berlaku di SMKATDM di samping memperkenalkan SMKATDM kepada masyarakat luar.
Sekian. Ustaz Haidon Hadi Sapiri
Pengetua
SMK Agama Tun Datu Mustapha
|